Jun 27, 2016

Putera Seri

Khabarnya Putera Sang Licik menyelinap pulang ke negeri Tembangi kerana terlalu rindu akan tempat asalnya itu. Adapun Putera Sang Licik tidaklah mahu menonjolkan diri kepada jelata, hanya berkisar sekitar teratak Putera Seri sekadar melepas rindu.

Puteri Si Licin juga sudah berpindah dari satu negeri ke negeri yang lain memperjudi hati. Dari Tembangi ke Jangkang ke Bukit Lajel ke Tembuloh ke serata Wilahar Lengasor.

Tanggal hari yang ke sepuluh purnama setelah terpisahnya mereka, gerak hati masing-masing membawa mereka ke Laluan Matahari; laluan utama yang menjadi penyambung negeri-negeri utama di Wilahar Lengasor.

Bertembung dua susuk tubuh yang dulunya bersatu sebelum terpisah. Menjengkelkan tabiatnya kerana terlalu lama tidak bersua. Tidak banyak yang dapat terluah dari hati masing-masing. Terhela nafas panjang menghadap bulan. Merewang fikiran, melayang angan.

Sapaan di Laluan Matahari itulah yang terakhir kalinya sebelum tercampak semula hati Sang Licik dan Si Licin ke Ulu Bangsu dan entah ke mana-mana negeri lagi...

Biar patah sayap rajawali, bertongkat jua kanda ke mari